Pages

Subscribe:

Saya Perlukan Rundingan Dari Biodex Perak !!!

Nama Penuh:
Email Address:
No HP
Umur
Tinggi (cm)
Berat (kg)
Usia Perkahwinan
Pernah mendapat rawatan Pakar Sakit Puan ? Ya
Tidak
Masalah kesuburan dan sukar hamil yang dihadapi (sila ceritakan secara terperinci seperti ada msh period tak teratur, senggugut, pernah keguguran, cyst,fibroid, endometriosis dan lain2 yang berkaitan)
Pernah mendapatkan PKB sebelum ini?Jika pernah apakah set yang diambil.

Click here to put a form like this on your site.

Wednesday, 29 August 2012

Group B Streptococcus

Artikel ini saya letakkan di sini selepas anak kepada sepupu saya yang baru dilahirkan mengalami GBS+VE. Saya google apa yg dimaksudkan dgn penyakit ini dan ini yang saya jumpa. Saya ingin sharekan ilmu ini dengan anda semua. 


Kebanyakan ibu hamil mengalami GBS+ve. Akan tetapi, bakteria tersebut tidak membahayakan kesihatan mereka. Cuma perhatian perlu diberikan pada bayi kerana kesannya cukup serius.

Group B Streptococcus (GBS) ialah sejenis bakteria yang menyebabkan jangkitan kuman pada darah. GBS selalunya ditemui pada bahagian vagina dan dubur kebanyakan ibu hamil. Untuk pengetahuan, kuman jenis ini tidak akan menyebabkan seseorang itu sakit kerana orang tersebut dijadikan perumah. Walaupun begitu, GBS boleh menyebabkan jangkitan kecil pada bahagian pundi kecil. GBS sememangnya tidak berbahaya kepada ibu sebaliknya ia bahaya kepada bayi yang bakal dilahirkan.

Seperti kebanyakan masalah jangkitan lain, tiada gejala yang nyata untuk penyakit ini. Jadi sukar untuk mengetahui adakah anda GBS+ve ataupun tidak. Ini turut merumitkan doktor untuk mengesan sama ada bakteria tersebut berupaya menjangkiti bayi yang bakal lahir ataupun sebaliknya.

Seseorang ibu hamil yang dijangkiti GBS akan berpotensi untuk menyebarkannya kepada bayi yang bakal dilahirkan pada sekitar 40 hingga 70 peratus. Pun begitu, daripada jumlah tersebut hanya 0.5 hingga 2 peratus bayi yang akan dijangkiti. Keadaan ini dinamakan neonate GBS. Kiraan tersebut dibuat berdasarkan satu kes bagi setiap 1000 kelahiran di seluruh dunia.

Umumnya GBS Neonate Boleh Dibahagikan Kepada 2 Jenis

Early Onset

Jenis ini sering berlaku. Tanda-tanda bayi dijangkiti GBS early onset akan muncul dalam tempoh 6 jam hingga seminggu selepas dilahirkan. Hampir 80 peratus kes menunjukkan bahawa tanda-tanda dikesan dalam jangka masa 72 jam pertama bayi. Jangkitan jenis ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, otak, saraf tunjang dan darah. GBS early onset boleh jadi lebih serius.

Late Onset


GBS jenis ini pula agak jarang berlaku. Bayi lazimnya tidak menunjukan sebarang tanda jangkitan sehinggalah dia berusia seminggu hingga enam bulan. Hampir separuh daripada bayi ini mendapat jangkitan semasa proses kelahiran. Manakala, separuh lagi mendapatnya selepas dilahirkan iaitu menerusi hubungan dengan ibu yang GBS+ve atau orang lain yang mempunyai masalah sama. Masalah kesihatan yang biasa mengganggu bayi yang dijangkiti ialah meningitis.

Walaupun purata bayi yang akan mendapat jangkitan sangat rendah, doktor tidak pernah menganggapnya masalah remeh. Hal ini adalah kerana jika tidak dirawat segera selepas disahkan terkena jangkitan, dikhuatiri bayi akan mati.

Antara Simptom-Simptom Yang Mungkin Dapat Dilihat Pada Bayi Yang Dijangkiti Ialah:
  • Badan letih dan lesu
  • Kurang menangis
  • Kurang menyusu
  • Pernafasan tidak normal (terlalu cepat atau berbunyi)
  • Jaundis yang berpanjangan
  • Sawan
Sekiranya bayi anda mempunyai tanda-tanda seperti yang telah dinyatakan, segeralah bawa dia berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Ketahuilah bahawa, walaupun dijangkiti kuman, suhu badan bayi tidak akan meningkat seperti yang selalu berlaku pada orang dewasa.

Lazimnya bayi yang dijangkiti bakteria ini akan diberikan penisilin untuk membersihkan darahnya. Selain itu, rawatan rapi turut diberikan bagi memastikan organ tubuhnya dapat berfungsi dengan baik sehingga semua bakteria dapat dimusnahkan oleh sistem tubuhnya sendiri. Sebenarnya perkara yang paling penting ialah rawatan segera. Hal ini adalah kerana lebih cepat seseorang bayi itu dirawat, semakin cerah peluangnya untuk sembuh. Bagi wanita yang pernah melahirkan bayi GBS atau bayi meninggal secara tiba-tiba tanpa sebab-sebab tertentu terutamanya selepas seminggu dilahirkan, anda perlulah berhati-hati ketika berhadapan dengan kehamilan berikutnya.

Untuk memastikan adakah seseorang ibu hamil itu membawa GBS atau tidak, ujian HVS C&S (High vaginal swab culture and sensitivity) akan dilakukan. Ujian tersebut akan dibuat dengan mengambil sedikit cecair dari dalam vagina untuk melihat organisma yang wujud di dalamnya. Dari situlah, doktor akan dapat mengenal pasti ibu hamil yang membawa GBS. Seperti pada bayi, ibu yang dijangkiti akan diberikan penisilin semasa proses kelahiran.

Bayi Anda Berpotensi Untuk Dijangkiti Jika:
  • Anda pernah melahirkan bayi yang dijangkiti GBS+ve.
  • Anda mengalami kesakitan bersalin yang terlalu lama.
  • Air ketuban pecah dalam tempoh yang agak lama sebelum proses kelahiran berlaku.
  • Dilahirkan kembar.
  • Berat badan semasa dilahirkan kurang.
  • Anda menghidapi choriomnionitis, iaitu jangkitan kuman dalam rahim yang menyebabkan demam, sakit pada bahagian uterus dan sel darah putih meningkat.
  • Lahir pramatang.
Kesan GBS+ve Pada Bayi

Sebelum Dilahirkan
  • Jantung bayi menjadi lemah dan berkemungkinan lemas.
  • Berisiko untuk meninggal sebelum dilahirkan.
Selepas Dilahirkan
  • Keradangan paru-paru yang akan menyebabkan kesukaran bernafas.
  • Sepsis - putrefaktif (penghancuran) dan pereputan tisu oleh bakteria penyebab penyakit atau toksinnya.
  • Meningitis - jangkitan kuman pada otak.

Co-Sleeping Asuhan Positif

pic
Co-sleeping atau tidur bersama anak banyak manfaatnya kepada ibu dan anak. Sebagai salah satu metode asuhan semula jadi, co–sleeping perlu diamalkan oleh semua ibu bapa tanpa ragu-ragu.  

Tidur adalah rutin harian yang amat penting di dalam kehidupan anak di mana ia otaknya akan berkembang ketika mereka sedang lena. Badan juga dalam keadaan rehat sepanjang tempoh tidur yang mengambil masa lapan hingga sembilan jam sehari bagi bayi peringkat usia kurang dari setahun. Kurang tidur mengakibatkan sistem keimunan menjadi lemah dan proses tumbesaran terganggu. Co-sleeping atau tidur sekatil dengan anak adalah idea terbaik agar keluarga yang sejahtera dapat dibentuk dengan cara yang lebih alami.

Kenapa co-sleeping disarankan? 

1. Menggalakkan penyusuan susu ibu
Bayi yang tidur bersama dengan ibunya akan lebih mudah disusukan. Hal ini kerana kedudukan bayi yang lebih dekat dengan ibunya. Pada bulan-bulan pertama, si kecil akan kerap terjaga untuk menyusu. Co-sleeping akan membantu ibu menyusukan bayi dengan lebih mudah tanpa perlu banyak bergerak dan turun dari katil. Ia malah mudah untuk lena semula setelah kekenyangan. 

2. Mencegah SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut)
Dengan mempraktikkan co-sleeping, ibu bapa akan sentiasa memantau posisi tidur anak. Risiko berlakunya SIDS sering kali disebabkan oleh kelalaian ibu bapa dapat dikurangkan kerana ibu bapa yang mengamalkan co-sleeping lebih kerap tersedar untuk menyusukan atau menukar lampin. 

3. Berasa lebih selamat
Anak anda akan berasa lebih selamat kerana dikelilingi ibu dan ayahnya ketika tidur. Ini menjamin kualiti tidur yang lebih baik.Ibu dan bapa juga tidak perlu risau keadaan anak kerana anak berada di depan mata. 

4. Hubungan rapat ibu dan anak
Kajian menunjukkan keluarga yang mengamalkan co-sleeping akan mempunyai hubungan yang rapat, mesra dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. 

5. Membentuk karakter anak yang lebih kukuh  
Co-sleeping baik untuk pembentukan karakter anak. Kajian menunjukkan anak lelaki yang tidur bersama ibu bapanya daripada lahir sehingga usia lima tahun mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi berbanding rakan-rakannya yang lain. Bagi anak perempuan pula, mereka dikenal pasti lebih berfikiran terbuka peka dan berempati pada persekitaran. 

6. Anak mempunyai kelakuan yang lebih positif
Kajian juga menunjukkan anak-anak yang mengamalkan co-sleeping akan lebih positif dan mendapat penilaian yang lebih tinggi di sekolah. Malah kajian bertajuk  Nonreactive Co-sleeping and Child Behavior: Getting a Good Night's Sleep All Night Every Nightyang dilakukan kan oleh Heron, 1994 menunjukkan anak-anak yang tidak mengamalkan co-sleeping agak sukar dikendalikan, kurang gembira, lebih mudah mengamuk dan sukar didekati. 

7. Mengurangkan masalah kesukaran untuk tidur bagi anak
Co-sleeping dapat membantu ibu bapa menyelesaikan masalah anak susah untuk tidur dengan mengajak anak tidur bersama-sama.

8. Memberikan kepuasan mendidik dengan lebih tinggi dalam mendidik
Cara asuhan ini akan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada ibu bapa. Hal ini kerana ibu bapa dan anak sentiasa bersama-sama dan tahu perkembangan anaknya daripada masa ke semasa.

9. Ibu bapa lebih sensitif dengan keperluan anak
Co-sleeping menjalinkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak. Ini akan memberikan rasa sensitif kepada ibu dan bapa untuk memenuhi keperluan si manja mereka. 

10. Lebih selamat daripada katil bayi
Ketahuilah co-sleeping adalah lebih selamat daripada menidurkan mereka di katil bayi. Hal ini kerana anda boleh memantau anak anda dengan lebih mudah dan mengelakkan SIDS.

 DO & DON’TS
  •  Jika anda mempunyai bayi kecil, jarakkan ia dengan kakak atau abangnya kerana mereka lebih cenderung untuk lebih lasak dan khuatir akan menyebabkan kecederaan pada bayi.
  • Sentiasa letakkan bayi anda pada posisi berbaring untuk mengurangkan risiko SIDS.
  • Pastikan kepala anak anda terbuka semasa tidur.
  • Pastikan kepala katil anda tidak mempunyai bukaan  yang boleh memerangkap kepala bayi anda.
  • Pastikan tilam anda sesuai dengan selesa dalam bingkai katil supaya bayi anda tidak akan menjadi terperangkap di antara kerangka dan tilam.
  • Elakkan meletakkan bayi di atas permukaan yang terlalu lembut untuk tidur seperti sofa  bed yang empuk atau tilam air.
  • Usah menggunakan banyak bantal dan selimut di atas katil. Gunakan hanya satu helai selimut untuk tidur.
  • Hindari minum alkohol atau penggunaan ubat-ubatan atau dadah yang boleh membuatkan anda tidak sedar diri.
INFO
Usia yang sesuai untuk memulakan tidur berasingan ialah pada usia lima tahun.
(Sumber: Majalah Pa&Ma September 2012)

Tuesday, 28 August 2012

Air Lemon Merawat Kanser dan Ketumbuhan



Potong lemon dan masukkan 2-3 hiris kedalam satu gelas air suam dan minum. 

Lemon akan menjadikan air 'alkaline' dan memberi banyak khasiat terhadap kesihatan badan kita.

Seorang pakar dari Baltimore USA mengatakan airlemon boleh membunuh sel2 kanser dan ia lebih kuat lagi tindakan dari ubat kanser/chemotherapy.

Untuk anda yang mengalami berbagai jenis ovarian cyst termasuk endometriosis , adenomyosis dan fibroids sila cuba minum segelas air lemon yang fresh tiga kali  sehari selama 3 hingga 6 bulan dan lihat ada tak perubahan dan ketumbuhan tersebut.

Mengatasi Stress Untuk Subur



Stress/tekanan/tension samaada mental , emosi atau fizikal semuanya ada
kesan kepada kesihatan dan kesuburan seseorang lelaki atau perempuan. Banyak
situasi dalam kehidupan kita , dirumah, dipejabat, dijalan raya dan lain2
menimbulkan stress atau ketegangan. Tetapi tidak kesemua situasi stress itu buruk.
Kadang-kadang kita memerlukan kepada situasi begini untuk menggerakan
kita berusaha , berfikir, mengatur rancaangan dan strategi dan akhirnya menjana
kejayaan. Hidup kita penuh cabaran dan cubaan yang munkin menghasilkan situasi
penuh stress.

Apa yang penting bagaimana kita menguruskan atau menangkis stress.
Berkaitan dengan isu kesuburan stress boleh mengganggu dengan beberapa cara.

  1. Ia boleh melemahkan tenaga batin/syahwat lelaki atau perempuan dan ini menyebabkan mereka jadi mati pucuk bagi lelaki, vaginismus bagi perempuan, ketidakmampuan untuk melakukan persetubuhan khususnya ketika isterinya sedang subur.
  2. Stress mengurangkan bilangan benih dan kekuatan pergerakan benih lelaki.
  3. Mengganggu hormon subur wanita, akibatnya tiada penetasan telor/ovulation.
  4. Saluran fallopio boleh jadi kecut dan mencegah benih suami sampai ke ovum isteri.
  5. Menggangu imbangan hormon wanita dan menyebabkan kegagalan embrio melekat
  6. dan membenam ke dinding rahim/implantation.


    Friday, 17 August 2012


    Beli Siap, Makanan Segera atau Masak Sendiri?


    pix a
    Semua ibu bapa inginkan anak yang sihat. Tapi, ramai di kalangan mereka masih tidak faham makna sihat yang sebenar. Tidak dinafikan bahawa ada ibu bapa beranggapan, jika anak mereka bertubuh besar maknanya dia sihat dan cukup makan. Jadi, tidak perlu risau tentang pemakanannya. Sebaliknya, anak yang bertubuh kecil, dianggap tidak cukup makan walaupun sebenarnya nutrien dan zat yang mereka peroleh setiap hari mencukupi.
    Agar anak kurus mereka  jadi ‘gemuk’, ramai ibu bapa tidak kisah apa yang anak mereka makan. Yang pentingnya anak ingin makan. Bagi mereka, lebih baik anak makan makanan segera daripada langsung tidak mahu makan. Tanggapan seperti inilah perlu ditangani segera agar peratusan anak yang dibesarkan dengan makanan segera ataupun makanan siap berkurangan dan digantikan dengan makanan daripada air tangan ibunya sendiri.
    Sepatutnya, untuk memastikan ahli  keluarga anda sentiasa sihat, perlulah diamalkan tabiat pemakanan yang berpandukan kepada Piramid Makanan Malaysia.
    Bagi memenuhi keperluan tenaga dan tahap pemakanan anda dan keluarga, pilihlah makanan yang terdiri daripada nasi, mi, roti, bijirin dan ubi. Hal ini kerana makanan jenis ini membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh.
    Selain itu, jangan lupa tentang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Pastikan anda menghidangkan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari kepada ahli keluarga.
    Harus diingat, demi untuk kesihatan seisi keluarga, pengambilan lemak, minyak, gula dan garam perlulah dikurangkan. Tidak dinafikan bahawa lemak penting untuk kesihatan kerana membekalkan tenaga, vitamin larut lemak A, K, D, dan E. Namun, pengambilan lemak yang berlebihan akan menjejaskan kesihatan.
    Bagi menyediakan sendiri makanan untuk keluarga, ada beberapa perkara perlu anda praktik. Antaranya ialah pemilihan bahan mentah. Pastikan bahan-bahan tersebut segar, tidak busuk, tidak berubah warna dan tidak berkulat. Semasa membersihkan bahan-bahan mentah, pasti dilakukan dengan sebaik-baiknya. Bersihkan segala kekotoran yang ada. Ketika memasak, terutamanya ikan, makanan laut, daging, ayam dan telur dimasak sehingga betul-betul masak. Semasa menyajikannya pula, pastikan makanan tidak dibiarkan terdedah dan jangan menyimpan makanan yang sudah dimasak lebih daripada empat jam pada suhu bilik.
    Panduan menyediakan hidangan sihat:
    • Pastikan anda mengambil kira tentang Piramid Pemakanan setiap kali anda menyediakan hidangan untuk keluarga.
    • Pelbagaikan cara penyediaan makanan seperti menggoreng, merebus, mengukus dan memanggang.
    • Gunakan bahan mentah yang segar.
    • Jaga kebersihan ketika di dapur.
    • Kurangkan penggunaan gula dan garam ketika memasak.
    • Penggunaan lemak juga perlu dikurangkan.
    • Cuci bahan-bahan mentah yang ingin dimasak bersih-bersih.
    Makanan siap dan segera
    Makanan segera memang sangat digemari kanak-kanak lebih-lebih lagi makanan yang menawarkan permainan sebagai hadiah. Membeli makanan di restoran atau gerai-gerai pula adalah pilihan bagi ramai ibu bapa yang bekerja dan tidak ada banyak masa untuk masak sendiri. Memang cara ini lebih mudah, ringkas dan cepat. Tapi, kita sering terlepas pandang tentang bahan-bahan yang terkandung dalam makanan yang dibeli itu. Adakah makanan tersebut sesuai untuk setiap ahli keluarga atau tidak? Bukan sahaja kandungan, tahap kebersihan dan proses penyediaan makanan tersebut adakah benar-benar mencapai tahap yang sepatutnya?
    Selain daripada memilih untuk membeli makanan siap dimasak di restoran atau gerai-gerai, ada ibu bapa yang lebih selesa memilih restoran makan segera dengan alasan kebersihan premis dan proses penyediaan yang lebih terjamin. Malah, kita semua sering diberitahu tentang khasiat yang terkandung dalam makanan tersebut. Jadi, kita rasa lebih selamat memberi anak makanan segera berbanding makanan di restoran. Tepatkan keputusan yang kita buat itu?
    Memang makanan segera seperti burger, kentang goreng dan ayam goreng mengandungi sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa jenis vitamin yang diperlukan oleh tubuh. Akan tetapi, kebanyakan makanan tersebut tinggi kalorinya, tinggi kandungan gula dan garam serta berlemak. Makanan tersebut kurang serat dan vitamin yang juga diperlukan tubuh. Ketidakseimbangan inilah yang akan mendatangkan masalah pada kesihatan.
    Kandungan sebenar makanan segera anda:
    • Burger daging seberat 230gm dianggarkan mengandungi 57gm lemak tulen. Selain lemak, burger daging mengandungi protein, zat besi, vitamin B12 dan sedikit serat. 
    • Ayam goreng kaya dengan lemak dan banyak garam. Walaupun begitu, di dalam ayam goreng juga ada protein, niasin dan vitamin B6.
    • Kentang goreng juga mengandungi banyak garam dan lemak selain daripada protein dan vitamin C.
    • Minuman berkarbonat terlalu banyak gula, pewarna kimia dan kafeina.
    Jika terpaksa membeli di restoran atau gerai, ada beberapa perkara perlu diikuti:
    • Pilih makanan yang segar dan baru dimasak.
    • Hadkan pengambilan makanan yang dirasakan mengandungi banyak bahan pewarna dan perisa tambahan.
    • Jangan beli makanan yang sudah hangus.
    • Pastikan makanan yang dibeli tidak mengandungi benda-benda asing seperti rambut, batu, pasir dan serangga.
    • Perhatikan juga persekitaran restoran atau gerai.
    • Perkakas yang digunakan untuk menyajikan makanan pun perlu diperhatikan.
    • Elakkan makanan yang sudah digoreng berulang kali.
    • Pilih hidangan yang seimbang mengikut piramid pemakanan.
    • Untuk minuman, elakkan minuman berkarbonat.
    Kalau terpaksa membeli di restoran makanan segera pula,
    • Pilih ayam panggang dan elakkan memilih ayam goreng.
    • Pilih saiz sajian yang kecil.
    • Pilih hidangan yang kurang lemak.
    • Jangan pesan minuman berkarbonat, sebaliknya pilih jus buah-buahan atau air kosong .
    • Jika ingin mengambil salad, pastikan sosnya rendah kalori.

    Thursday, 16 August 2012

    Risiko Perjalanan Jauh Buat Ibu Hamil


    pic a
    Ketika hamil, anda mudah berasa letih. Tambahan pula, daya tahan tubuh semakin berkurangan. Ikuti ulasan lanjut, doktor pakar sakit puan dan perbidanan dari Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Balakrishnan Subramaniam.

    Di awal usia kandungan, anda masih boleh melakukan perjalanan dalam jarak perjalanan yang jauh. Namun, tidak bagi anda yang mengalami komplikasi kehamilan seperti pendarahan, muntah yang teruk ataupun pernah mempunyai sejarah keguguran di kehamilan terdahulu.Sama juga halnya dengan anda yang hamil lebih daripada 34 minggu.
    Anda tidak digalakkan berjalan jauh terutamanya perjalanan yang  mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke destinasi yang dituju. Apatah lagi jika laluan yang digunakan tidak rata.Ketahuilah, perjalanan jarak jauh yang dilakukan pada akhir usia kandungan, mendedahkan anda kepada risiko kelahiran pramatang. Sehubungan itu, wanita hamil yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh turut berhadapan dengan risiko yang sama.
    Walau bagaimanapun, jika perjalanan jauh masih perlu diteruskan, anda  harus memberi perhatian kepada kesihatan diri sendiri. Oleh yang demikian, duduk dalam kedudukan yang betul dan selesa, jangan duduk terlalu lama, jauhi alkohol, minum air dalam jumlah yang banyak dan keraplah melakukan senaman regangan ringkas atau pergerakan kaki. Langkah sebegini amat penting untuk dititikberatkan bagi mengelakkan masalah darah beku, memperbaiki perjalanan darah, menggalakkan regangan otot yang akhirnya dapat memberikan keselesaan kepada diri anda sepanjang perjalanan.
                Sementara itu, antara perkara yang perlu diberi perhatian sebelum memulakan perjalanan jarak jauh adalah sentiasa membawa ubat yang dibekalkan oleh doktor yang memeriksa kehamilan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan khususnya kepada anda yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma. Anda juga dinasihatkan sentiasa membawa bersama rekod pemeriksaan kehamilan terutamanya bagi yang mempunyai kandungan bermasalah.
    Namun, adalah lebih baik untuk anda mengelakkan perjalanan jarak jauh di akhir usia kehamilan. Sekiranya berlaku kelahiran pramatang, risikonya bukan sahaja kepada bayi yang dikandung, tempiasnya turut akan mengenai diri anda sendiri.
    Guna kereta
    Perjalanan jarak jauh yang menggunakan kereta adalah pilihan terbaik untuk anda. Dengannya, anda boleh berhenti di mana sahaja dan pada bila-bila masa yang dikehendaki. Tidak kira sama ada di tepi jalan atau di kawasan rehat lebuh raya, anda boleh mengambil kesempatan untuk berehat seketika untuk melakukan senaman regangan.
    Perlu anda tahu bahawa ibu hamil mempunyai komposisi darah yang boleh mengakibatkan pembekuan darah dalam saluran vena. Keadaan ini boleh mendatangkan bahaya jika darah beku menyumbat saluran paru-paru dan mengurangkan paras oksigen dalam tubuh sehingga membahayakan nyawa. Secara tidak langsung bayi dalam kandungan juga boleh diancam mudarat yang sama.
     Naiki kenderaan awam
    Seboleh-bolehnya elakkan penggunaan kenderaan awam seperti bas dan kereta api. Hal ini kerana, anda tidak berupaya untuk bergerak bebas kerana tempat duduk yang disediakan agak sempit. Kaki anda juga sentiasa terjuntai dan tidak dapat diluruskan. Keadaan sebegini tentunya kurang menyelesakan apatah lagi kebanyakan bas berhenti sekali sahaja sepanjang perjalanan bagi membolehkan para penumpang berehat.
    Penerbangan melalui pesawat
    Menaiki pesawat dikatakan tidak selamat bagi wanita hamil atas alasan
    faktor logistik. Adalah lebih mudah untuk anda mendapatkan rawatan doktor pakar di hospital dengan menaiki kenderaan darat berbanding udara apabila berlaku hal-hal kecemasan.
    Apatah lagi, kebanyakan pesawat di mana-mana jua syarikat penerbangan tidak dilengkapi dengan kelengkapan khusus untuk menyambut kelahiran bayi. Keadaan akan bertambah buruk andainya berlaku komplikasi atau kecemasan sewaktu proses kelahiran bayi semasa di udara.
    Sekiranya masih perlu menaiki kapal terbang, anda mungkin memerlukan surat rujukan daripada doktor menyatakan bahawa anda dan kandungan sihat, dan sesuai untuk melalui perjalanan itu. Bagi memudahkan pergerakan, anda dinasihatkan memohon tempat duduk yang berdekatan dengan laluan dan bukannya di tepi tingkap.
    Info
    Ketika berada di dalam kereta, pastikan anda memakai tali keledar. Langkah ini penting untuk menyelamatkan nyawa jika berlaku kemalangan. Jangan risau mengenai isu bayi dalam kandungan dihimpit oleh tali keledar memandangkan dia dilindungi air ketuban. Air berkenaan adalah mekanisme perlindungannya.
    Pakai tali keledar dengan meletakkan tali itu di bahagian perut iaitu sebawah yang mungkin. Tali di bahagian dada pula diletakkan di antara kedua-dua belah payu dara. Dalam pada itu, dinasihatkan agar anda sentiasa menukar kedudukan tali dari semasa ke semasa supaya ia memberi keselesaan berpanjangan.
     
    Tip tambahan
    1. Dapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Ini bagi memastikan anda cergas dan tidak mengantuk serta letih ketika dalam perjalanan.
    2. Pakai pakaian dan kasut yang selesa.
    3. Bawa bekalan makanan dan minuman mencukupi. Elakkan daripada mengambil minuman berkarbonat.
    4. Apabila berada dalam keadaan duduk yang agak lama, letakkan bantal kecil di belakang dan cuba lunjurkan kaki. Keadaan ini boleh mengurangkan kaki menjadi bengkak dan dalam masa yang sama memperbaiki peredaran darah. Posisi ini penting bagi anda yang mengalami varicose veins.
    5. Jika melakukan perjalanan jarak jauh dengan menggunakan kereta, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan baru diservis.
    6. Rancang perjalanan dan jangan tergesa-gesa di jalan raya. Berhenti pada bila-bila masa yang diperlukan untuk melakukan senaman regangan bagi memperbaiki peredaran darah.
    (Sumber: Pa&Ma September 2012)

    Yeayy, Seronoknya Bantu Mama!


    pix a
    Mendidik anak-anak melakukan aktiviti mengemas dan membersihkan rumah adalah satu didikan awal amalan kebersihan di rumah. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebung. Asuhan seawal usia lima hingga enam tahun boleh dimulakan di rumah.  
    Mengajak anak-anak turut serta dalam kerja-kerja rumah memberikan banyak faedah. Selain dari menjadikan mereka berdikari, ia juga memupuk rasa bertanggungjawab dan merupakan latihan awal mereka tentang tugas-tugas berkaitan kebersihan di kediaman. Selama ini mereka hanya melihat sahaja kelakuan orang dewasa dan sesekali meniru aksi orang yang rapat dengan mereka seperti ibu bapa dan adik-beradik membuat kerja rumah ketika bermain. Kini tiba masanya untuk mereka mencubanya sendiri.
    Merujuk buku Mrs Clean Jeans Housekeeping for Kids, karya Tara Aronson, terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan bagi menggalakkan anak-anak melakukan tugas-tugas mengemas sesuai dengan usia mereka.
    10 cara libatkan anak-anak:
    1-Senaraikan tugasan
    Ajak si manja anda berbincang ceritakan kepadanya tentang tugas-tugas yang perlu kita lakukan bersama dalam kediaman. Gunakan ayat yang paling mudah difahaminya. Terangkan padanya sudah tiba masanya untuk dia membantu ibu bapa melunaskan tugas di kediaman. Pasti si kecil akan teruja untuk melakukan kerja-kerja orang dewasa kerana pada peringkat umur ini mereka gemar berlagak dewasa.
    2-Beri dia kebebasan
    Kebebasan dapat menyerlahkan kreativiti seseorang termasuklah kanak-kanak! Biarkan si kecil anda memilih tugas yang disukainya. Elakkan daripada memaksa dan biar dia melakukan dengan rela hati. Kekerapan sekali seminggu atau empat kali sebulan pastinya tidak membebankan. Penerangan anda amat penting supaya anak anda memahami tugas yang perlu dilunaskan olehnya.
    3-Tetapkan masa
    Anda perlu menetapkan masa yang sesuai untuk pelaksanaan tugasnya. Oleh sebab anak anda masih tidak mengetahui masa, anda perlu Ingatkan si manja anda apabila tiba masanya untuk dia melipat pakaian atau mengemas mainan dan meja tulisnya.  Tidak mustahil lama-kelamaan hal tersebut akan menjadi rutinnya tanpa perlu diingatkan berulang kali!
    4-Berikan tempoh masa yang sesuai
    Tugas ini memerlukan komitmen bersama. Ibu bapa perlu berikan tempoh yang sesuai dan memastikan perlaksanaan tugas-tugas membersihkan dan mengemas ini tidak mengganggu jadual harian si manja. Jangan pula ponteng aktiviti mingguan mereka seperti kelas berenang atau kelas seni mempertahankan diri dek kerana kerja rumah yang perlu disiapkan.
    5-Berikan panduan dan penerangan secara praktikal
    Awas ibu bapa semua! Berikan kepada anak-anak secukupnya sebelum membiarkan mereka melakukan sendiri tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan ini agar matlamat mendapatkan kediaman bersih dan kemas tercapai. Pada peringkat usia ini, anak anda sudah   boleh memahami langkah-langkah mudah.
    6-Jadikan ia satu bentuk mainan
    Ciptakan suasana yang menyeronokkan dengan nyanyian dan lagu. Pasang muzik kegemaran sepanjang pelaksanaan aktiviti membersihkan ini agar si kecil anda tidak bosan dan kekal cergas.
    7-Ganjaran, motivasi dan upah
    Pujilah Si manja anda apabila dia berjaya melakukan tugas-tugasnya. Sekali skala anda boleh menyuntik motivasi kepada anak-anak dengan memberikan ganjaran atau upah yang bukan berbentuk wang seperti buku, tiket menonton wayang atau hidangan makan tengah hari kegemaran mereka.
    8- Lakukan aktiviti secara berkumpulan
    Bagi menimbulkan keseronokan, laksanakan kerja rumah dalam kumpulan. Misalnya gabungkan si manja dengan kakaknya yang berusia 10 tahun untuk mengemas bilik tidur yang dikongsi mereka.  Pada usia lima dan enam tahun anak-anak sudah faham erti kerja sama dan bantu-membantu. Anda juga boleh turut serta. Aktiviti ini akan lebih menyeronokkan dan merapatkan hubungan  kekeluargaan.
    9- Jumlah tugas
    Berapa pula tugas yang mampu dilaksanakannya dalam sehari? Gunakan formula ini untuk menentukannya. Formulanya ialah: 
    • Umur dibahagikan dengan 2=jumlah tugas yang mampu dilaksanakan sehari mengikut umur
    •  Sebagai contoh bagi anak berusia lima tahun, maka boleh  dipertanggungjawabkan dua  hingga tiga tugasan seperti membantu  anda melipat pakaian bersih, mengemas mainan dan menyiram pokok dalam tempoh yang ditetapkan.
     10-Hadkan penggunaan gajet berbahaya
    Penggunaan peralatan yang tajam seperti gunting dan pisau juga perlu dielakkan pada usia ini. Jika perlu menggunakan peralatan seperti penyiram pokok atau penyapu, anda boleh melatih mereka terlebih dahulu teknik penggunaan yang betul. Penerangan dan demo menerusi langkah demi langkah oleh anda untuk mengelakkan kecederaan yang tidak diingini.

    TUGAS MENGIKUT UMUR 
    5 tahun
    -mengumpul dan menyimpan barang-barang permainan ke dalam sebuah kotak.
    -meletakkan pakaian  kotor ke dalam bakul.
    -melipat pakaian bersih dan menyimpannya ke dalam laci.
    -meletakkan pinggan dan mangkuk kotor ke dalam singki.
    -menyimpan barang permainan ke dalam kotaknya atau tempat khas.
    -menyimpan kembali buku ke rak dan mengemas alat tulis ke dalam kotak khas.
    -menyimpan cakera padat ke raknya.
    -mengelap perabot.
    -menyiram pokok.
    6  tahun
    -aktiviti mengemas di atas dan;
    -memandikan haiwan peliharaan dan membersihkan mangkuk makanannya.
    -membantu membersihkan makanan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.
    -mengemas kamar tidur sendiri.
    -membersihkan lantai menggunakan penyapu.
    -membersihkan lantai atau permaidani menggunakan penyedut hampa gas dengan bantuan (bergantung pada saiz penyedut hampa gas).
    -mengasingkan sampah dengan bahan buangan yang boleh dikitarkan semula.
    -membuang sampah dari bakul sampah ke tempat pengumpulan sampah utama di rumah.
    -menyapu daun-daun kering di halaman.
    -melakukan aktiviti berkebun yang asas seperti mencantas pokok dan menggemburkan tanah.

    (Sumber: Majalah Pa&Ma September 2012)  

    Wednesday, 15 August 2012

    Kenali Proses Kontraksi

    pix
    Bayi belum “turun” tetapi pinggang sudah lenguh. Perut pula semakin memulas. Sakitnya semakin lama semakin kerap. Adakah itu tanda hampir bersalin?
    Seawal tiga minggu dari tarikh jangkaan kelahiran, kesakitan yang dirasai semakin kerap. Selain itu, pengeluaran lendir bercampur darah atau lelehan air ketuban menandakan anda telah sampai ke peringkat awal proses bersalin. Pengecutan rahim merupakan asas utama yang akan memulakan keseluruhan proses bersalin. Rahim merupakan organ reproduktif wanita yang akan membiarkan janin membesar tanpa sebarang gangguan dan akan berkontraksi mengeluarkan janin sewaktu kelahiran. Ia merupakan dua fungsi yang bercanggah untuk satu organ yang sama.
    Otot-otot yang terdapat di dinding rahim adalah jenis smooth muscle yang tidak dapat dikawal seperti otot-otot pergerakan di kaki dan tangan. Jadi, pengecutan otot ini bergantung kepada tindak balas saraf dan hormon-hormon yang dilepaskan ke dalam sistem badan ibu oleh janin yang dikandungnya.
    Pemerhatian klinikal menunjukkan pengecutan bermula dari bahagian atas rahim dan merebak ke bahagian bawah menuju ke arah pangkal rahim. Ia berlaku berulang-ulang kali dengan kekerapan yang semakin tinggi. Namun, sebelum aktiviti maksima ini, proses yang sama telah pun berlaku tanpa disedari. Proses ini sebenarnya adalah proses yang normal untuk memastikan rahim, pangkal rahim dan bukaan faraj berada dalam kedudukan sejajar bagi membolehkan bayi turun dan keluar semasa proses kelahiran.
    Kesakitan yang dirasakan sebenarnya berpunca dari pengecutan rahim yang berkala. Pengecutan yang kerap menyebabkan otot semakin kekurangan oksigen, suatu keadaan yang menimbulkan rasa sakit di dalam otot itu sendiri. Selain itu, tekanan ke atas komplek saraf yang tersepit di antara dua struktur bertulang yang keras iaitu kepala bayi dan tulang pelvik ibu menyebarkan sakit bersalin ke semua arah. Kesakitan ini berterusan dan semakin kuat apabila bukaan pangkal rahim bergerak secara aktif. Untuk kehamilan pertama, bukaan berlangsung dalam anggaran bukaan 1 cm setiap sejam.
    Bayi akan mula turun melalui rongga yang telah tersusun dan membuka. Penurunan ini akan menimbulkan satu lagi punca kesakitan apabila bayi sampai dalam vagina dan bersedia untuk keluar. Regangan keseluruhan rongga vagina dan semua otot-otot pelvik di peringkat akhir proses bersalin juga memberikan rasa sakit.
    Seringkali anda dinasihatkan untuk terus ke hospital sebaik sahaja tanda-tanda awal bersalin berlaku. Dalam julat masa yang singkat ini, terdapat segelintir daripada anda yang terdedah kepada pelbagai masalah yang melibatkan ibu atau anak dalam kandungan. Selain dari tu, pemantauan perlu dimulakan sebaik sahaja sakit bermula bagi ibu yang menghidap darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung ataupun masalah perubatan yang lain. Kedudukan bayi perlu ditentukan untuk memastikan ia betul-betul sesuai untuk kelahiran biasa. Sekiranya air ketuban telah pecah, keadaan tali pusat bayi perlu ditentukan juga. Bagi masalah tali pusat yang keluar terlebih dahulu sudah tentu memerlukan pembedahan dilakukan dalam masa 10 minit untuk menjamin keselamatan bayi.
    Sekiranya keadaan ibu dan bayi adalah baik, bukaan pintu rahim akan menentukan status kelahiran tersebut. Kurang dari 3 cm menandakan proses bersalin peringkat awal. Bukaan pangkal rahim yang lebih besar dari 3 cm menandakan proses aktif telah bermula. Penentuan kaedah kawalan sakit bersalin akan ditentukan berdasarkan status tersebut. Bergantung kepada kaedah yang disediakan di hospital, doktor akan memberikan kaedah yang bersesuaian.  
    Mengambil kira kelahiran pertama sebagai contoh, antara kaedah yang dicadangkan ialah suntikan, sedutan gas entonox dan pembiusan epidural. Suntikan ubat tidak lagi sesuai sekiranya bukaan mencecah 8 cm. Dikhuatiri bayi akan mengalami kesan ubat dan susah bernafas sebaik sahaja dilahirkan. Sedutan sendiri gas Entonox boleh diambil pada bila-bila masa sepanjang proses kelahiran malah boleh diteruskan semasa proses pengeluaran uri atau jahitan dilakukan. Epidural pula hanya boleh diberikan sekiranya terdapat khidmat doktor bius khusus di bilik bersalin, lengkap dengan kakitangan serta peralatan bantuan untuk menangani sebarang komplikasi. Jadi, berbincanglah dengan doktor untuk mendapat maklumat lanjut. Maklumat ini tentunya akan melegakan perasaan cemas yang anda rasai.
    Kontraksi palsu
    Ada ketikanya, sebaik sahaja bergegas ke hospital, kesakitan reda dengan sendirinya. Biarpun begitu, anda perlu meneruskan pemeriksaan doktor bagi memastikan punca kesakitan tersebut. Ini kerana jangkitan kuman dalam air kencing, radang yang melibatkan appendiks atau usus boleh menimbulkan kesakitan yang sama. Dengan adanya tanda-tanda klinikal yang menjurus kepada lain-lain diagnosis selain sakit bersalin, doktor akan meneruskan pemeriksaan faraj.
    Ketahuilah, kontraksi palsu akan hilang dengan sendiri. Ini kerana pangkal rahim masih kenyal dan tertutup rapat. Tiada juga terdapat tanda-tanda pendarahan atau lelehan air ketuban. Tambahan pula pemeriksaan ultrasound menunjukkan tempoh kehamilan masih awal dan bayi berada dalam keadaan yang baik.Rawatan khusus akan diberikan dan biasanya anda diarahkan untuk berehat di rumah untuk tempoh sementara antara tiga hingga tujuh hari sehinggalah pemeriksaan semula dilakukan.
     INFO
    Bagi mengurangkan sakit kontraksi, anda digalakkan mengiring ke sebelah kiri. Ia membolehkan suami mengurut bahagaian belakang dan tidak mengganggu peralatan yang digunakan. Paling penting, ia tidak akan menyebabkan gangguan aliran darah kembali ke jantung. Jika mengiring ke sebelah kanan, rahim akan menghimpit saluran pembuluh darah utama ke jantung!

    sumber : pa&ma

    Info Seks : Inginkan Zuriat Cepat Dan Sihat, Tingkatkan Kualiti Sperma


    info4
    “Sejauh mana kesuburan anda dan pasangan? Sudah menjadi lumrah di alam perkahwinan, zuriat diimpikan dalam kehidupan berkeluarga sebagai pelengkap dalam kehidupan.”
    ‘Subur’ dari segi hubungan intim tidak semestinya difokuskan kepada wanita sahaja. Lelaki juga perlu memiliki kesuburan yang tinggi untuk mendapatkan zuriat yang sihat dan cepat. Anda perlu ketahui cara untuk meningkatkan kesuburan sperma, agar penantian untuk mendapatkan zuriat tidak terlalu lama.
    Anda menginginkan sperma yang subur dan aktif, teruskan membaca dan praktikkan dalam kehidupan seharian, bermula dari sekarang. Cubalah!
    1. Ambil Vitamin C dan E serta herba
    Vitamin C dan E dapat membantu sperma menjadi kuat untuk berenang dan bergerak, seterusnya memberi peluang yang tinggi untuk mendapat zuriat. Selain itu, herba Maca, Ginkgo Biloba, Muira Puama, dan Horny Goat Weed juga dapat meningkatkan kesuburan sperma anda.
    2. Makanan yang tinggi kandungan zat besi
    Tiram mempunyai kandungan zat besi yang tinggi dalam kategori makanan laut. Untuk peningkatan kesuburan sperma yang berpanjangan, perbanyakkan memakan daging kambing, lembu, kekacang, marjerin dari bunga matahari dan tomato.
    3. Minum air mineral
    Elakkan tubuh dari terhidrat, yang menjadikan sel dalam badan kering dan tidak subur. 6 gelas air sehari perlu diminum agar pengaktifan sel sperma ditingkatkan.
    4. Lakukan senaman kegel (alat sulit)
    Senaman kegel perlu dilakukan selalu agar alat sulit anda sentiasa berada dalam keadaan baik dan aktif! Semasa membuang air kecil, cuba hentikan atau lambatkan aliran air kencing. Apabila anda boleh memperlahankan atau menghentikan aliran air kencing, maka anda sebenarnya berjaya mengenal pasti kedudukan otot kegel tersebut, kerana untuk menghentikan aliran air kencing, kita perlu menarik otot di bawah bahagian kelengkang. Itulah sebenarnya otot Kegel.
    Dalam keadaan sedang duduk, tarik atau kecutkan otot kegel dalam lima kiraan secara perlahan. Kemudian, lepaskan semula otot tersebut juga dalam lima kiraan secara perlahan. Ulangi lagi sebanyak 10 kali. Lakukan senaman sedemikian sebanyak tiga kali sehari. Setelah beberapa hari, ubah cara latihan dengan melakukan senaman tersebut dalam pelbagai kedudukan seperti berdiri, berbaring bahkan semasa semua kedudukan di dalam solat. Latihan sedemikan harus diteruskan dari masa ke semasa. Dengan senaman sedemikian, bukan sahaja dapat membantu mengurangkan masalah kencing tidak lawas bahkan meningkatkan lagi kemampuan alat sulit anda.
    5. Aktif melakukan hubungan intim
    Hubungan intim bersama pasangan sebenarnya dapat meningkatkan kualiti sperma yang dihasilkan. Selain meningkatkan kemampuan untuk memiliki zuriat, tubuh badan juga akan menjadi sihat.
    6. Bersenam
    Senaman larian atau berjoging dapat meningkatkan kualiti penghasilan sperma di samping pengaliran darah yang lancar ke bahagian zakar. Seterusnya, testosteron akan menghasilkan sel sperma yang banyak di kala itu!
    Selain mencuba tip di atas, anda juga perlu sentiasa berusaha untuk memiliki zuriat yang diidamkan. Usah gusar dan putus asa sekiranya anda lambat memiliki cahaya mata. Ini kerana, kurniaan Tuhan yang diberikan mempunyai hikmah disebaliknya. Teruskan usaha, anda pasti akan berjaya.
    Info Tambahan :
    Sel sperma yang subur akan bertahan selama 24 hingga 36 jam untuk sekali pancutan. Seterusnya, ia akan dikitar semula dan sel sperma yang baru akan matang dalam tempoh 24 hingga 36 jam yang seterusnya!